Bacaan asing
petikan dari laman Ustaz Hazrizal:
THE AGE OF MUSLIM IGNORANCE
Pada saya, apa yang telah membelenggu Eropah di era itu, hal yang sama jugalah sedang membelenggu pemikiran umat Islam hari ini. Saya bimbang dengan pemikiran simplistik umat Islam di Malaysia hari ini. Jika Tok Wan di kampung, tentulah saya tidak bimbang. Tetapi yang menjadi kerisauan saya adalah tokoh-tokoh masyarakat, ahli politik dan Ulama sendiri.
Di era penghormatan orang ramai terhadap Ulama semakin terhakis, ramai Ulama yang dengan sendiri menambah sebab untuk mereka tidak dihormati.
Suatu ketika, kita beranggapan bahawa semua yang menentang Islam adalah Orientalis. Semua Orientalis adalah musuh Islam. Walaupun mungkin kita bahagikan Orientalis kepada Orientalis klasik, moden, dan pasca moden, namun kita beranggapan bahawa semua kelompok ini bekerja untuk menjayakan agenda penjajahan dan merancang untuk membinasakan Islam. Lantas kita gagal bersikap adil, dan seterusnya terhijab dari mengambil manfaat menerusi kajian Orientalis yang bermaksud baik seperti Arnold Toynbee.
Kita juga marah dengan Orientalis kerana menyalah tafsirkan Islam, bagaimana pula dengan jenayah kita menyalah tafsirkan Eropah? Apakah kita sudah menghasilkan terjemahan Islam terhadap Western Civilization? Orientalis gigih bekerja, dan kita hanya gigih menangkis, semata-mata.
Saya terkejut apabila mendapati ada di kalangan rakan saya yang belajar di Eropah tetapi menumpukan pembacaan tentang Orientalis kepada hasil karya orang Islam terhadap subjek tersebut. Tentunya pembacaan sedemikian rupa akan diwarnai oleh bahasa sacarstic, prejudis dan sinis yang merugikan. Sedangkan saya dan rakan-rakan di Malaysia, kami bertungkus lumus membaca tentang Orientalis berasaskan karya Orientalis sendiri, agar kami tidak bias, dan boleh membuat kesimpulan yang adil tentang mereka.
Kami menempuh kesukaran untuk mendapatkan bahan bacaan tentang Orientalis, dan jika ada terjual di Kinokuniya atau Borders, harganya menyeksa diri. Sedangkan mereka yang berada di Eropah tidak mengambil peluang daripada keberadaan mereka di sana, untuk mendalami isu ini dari sumbernya yang asli.
kalau berani, ia dibaca dengan ini: Ancaman Pembiusan Agama, tulisan Fathi Aris Omar.
[TAMBAHAN (10/5/2007): Kedua-dua artikel ini mengupas isu yang sama, iaitu perlunya berlaku adil terhadap kawan dan lawan, di dalam konteks penerimaan ilmu. Ia, pada hemat saya, sesuatu yang perlu diamalkan oleh setiap muslim.]
Ada baiknya jika diskusi di hujung artikel ini dibaca juga.
Mohon dijaga adab di dalam berpendapat.